Solat Di Atas Kapal Yang Besar? Ini Cara Yang Islam Ajarkan Bagi Orang Yang Bekerja Di Laut

Soalan

Assalamualaikum.
Saya bekerja sebagai tentera laut. Setiap bulan, saya akan belayar ke laut
untuk urusan kerja. Kebetulan waktu belayar hari Jumaat. Adakah saya boleh
menunaikan solat Jumaat di atas kapal?

Jawapan

Alhamdulillah,
pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak
terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga,
sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Terima
kasih atas persoalan ini. Kami cuba memahami isu anda dan mereka yang bekerja
seperti anda. Antaranya yang menjadi kelasi kapal sehingga berbulan-bulan di
samudera tanpa melihat tanah dan daratan. Isu seperti ini amat wajar dibincang
dengan tuntas dalam Majlis Fatwa kerana syarat asal Jumaat sudah tidak dipenuhi
oleh mereka yang berada di lautan atau di atas kapal. Ini kerana, istilah
mastautin dan mukim hanya berlaku di daratan, bukan di lautan. Walaupun begitu,
terdapat kapal yang besar seolah-olah menjadi seperti sebuah pulau dan ada yang
boleh memuatkan ribuan penumpang dengan pelbagai kemudahan termasuk dapur,
kolam renang, dewan, kedai makan, surau dan lain-lain.

Dengan
melihat syarat Jumaat seperti yang terkandung dalam kitab Feqah antaranya
al-Fiqh al-Manhaji (1/498-499) yang menyebut:

Hendaklah
bermukim di tempat solat jumaat didirikan. Solat Jumaat tidak wajib atas orang
musafir dengan syarat perjalanan itu harus walaupun dekat. Seseorang yang
musafir itu disyaratkan memulakan perjalanannya sebelum terbit fajar pada hari
Jumaat dan dia tidak terdengar azan subuh di tempatnya.

Solat
Jumaat juga tidak wajib atas orang yang bermastautin di tempat yang tidak sah
didirikan solat Jumaat seperti di kampung yang bilangannya kurang daripada 40
orang yang bermastautin dan tidak mempunyai sebarang keuzuran.

Disyaratkan
juga tidak terdengar suara azan daripada masjid qaryah sebelahnya yang
mendirikan solat Jumaat.

Semua
syarat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِى جَمَاعَةٍ
إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِىٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya:
“Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap orang Islam secara
berjemaah melainkan kepada 4 golongan iaitu hamba yang dimiliki, perempuan,
kanak-kanak dan orang sakit.”

Riwayat
Abu Daud (1067)

Hadith
seterusnya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَعَلَيْهِ
الْجُمُعَةُ إِلاَّ امْرَأَة أَوْ مُسَافِرا أَوِ عَبْدا أَوْ مَرِيضا

Maksudnya:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat maka wajib atasnya
mendirikan solat Jumaat kecuali dia seorang perempuan, musafir, hamba dan orang
sakit.”

Riwayat
al-Daraqutni (2/3) dan yang lainnya

Hadith
yang lain pula:

الْجُمُعَةُ عَلَى كُلِّ مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ

Maksudnya:
“Solat Jumaat wajib atas setiap orang yang mendengar seruan azan.”

Riwayat
Abu Daud (1056)

Justeru,
tidak boleh dilakukan Jumaat di atas kapal walaupun jumlah mereka melebihi 40
orang. Kami cadangkan agar dilakukan solat Zohor sama ada tamam atau qasar atau
jamak dengan Asar selama mana dinamakan musafir. Kami juga cadangkan, mungkin
pada setiap hari Jumaat, diadakan sesi tazkirah sebelum solat Zohor untuk
mengambil manfaat dan faedah, ilmu dan pengajaran sebelum solat Zohor berjemaah
dilaksanakan.

Soalan
seperti ini, kami syorkan juga untuk diangkat ke Majlis Fatwa agar dikaji
dengan lebih mendalam apabila mengetahui sifat kemusafiran laut dalam tempoh
masa yang lama; apakah ia seperti berada di sebuah pulau dengan aktiviti
seperti di daratan dek kerana kapal yang besar sehingga gelombang ombak sendiri
pun tidak terasa.

Semoga
jawapan seperti ini boleh memberi pencerahan ilmu mengikut neraca Syariah.
Amin.

(Visited 69 times, 1 visits today)