Biarlah Anak Tak Ramai, Janji Kita Mampu Berikan Yang Terbaik Untuk Mereka

Zaman sekarang ini anak tak ramai sangat pun orang
tanya-tanya, tetapi tak boleh cepat melatah atau ambil hati. Masing-masing
punya perancangan hidup.

Kalau nak dibandingkan dengan orang dulu-dulu memang
berbeza sangat, anak paling sedikit pun 5-6 orang. Dan purata paling banyak 12 orang.
Memang kagum dengan mak ayah dulu. Tetapi zaman semakin maju, ada banyak sebab
mak ayah zaman sekarang merancang bila bab anak.

Mungkin pandangan mak ayah di
luar sana ada persamaan dengan pendapat saudara Najmi Nawawi ini…

KENAPA ANAK TAK RAMAI?

Macam aku sendiri alhamdulillah sudah dikurniakan dua
orang cahaya mata comel, Maryam Deen dan Aisyah Deen. Setakat ini belum lagi
memiliki perancangan untuk tambah anak. Meramaikan anak ialah sesuatu yang
dianjurkan sahaja.

Kalau tidak ramai, tiada masalah, dan tidak dicela
pun dalam syarak. Tetapi memanusiakan, menginsankan, dan mengkhalifahkan setiap
orang anak adalah sesuatu yang wajib. Jika tidak tertunai, ia dicela oleh
syarak.

Zaman sekarang sudah tidak sama dengan dulu, aku akan
cuba huraikan kenapa tidak perlu ramaikan anak jika tidak boleh bagi yang
terbaik kepada setiap daripada mereka.

1. Kualiti lebih utama dari kuantiti

Kita hidup di zaman yang penuh cabaran dan dugaan.
Anak-anak perlu dijaga dan dibentuk dengan sebaik mungkin sejak mereka masih
kecil. Dikhuatiri dengan bilangan anak yang ramai membuatkan kita gagal
memastikan pembentukan (tarbiah) yang baik khususnya dalam hal pendidikan
sempurna bagi setiap dari mereka. Kita tidak mahu anak-anak kita sekadar
menjadi buih-buih di lautan.

2. Anak yang lebih berjaya

Biarlah anak tidak ramai, tetapi kita akan pastikan
satu hari nanti mereka akan ada ribuan orang yang bekerja di bawah mereka.
Dengan perhatian dan pembentukan individu lebih sempurna pasti akan membawa
impak kepada pembentukan anak yang lebih hebat.

3. Kos yang makin mahal

Tidak dinafikan kos untuk membesarkan seorang anak pun
sudah sangat mahal. Apatah lagi buat yang tinggal di kawasan bandar yang mana
kos pendidikan, jagaan, perkakasan yang jauh berganda dari harga biasa. Hal ini
memang perlu dipandang serius. Kerana kegagalan dalam merancang ekonomi
keluarga akan membawa kepada kesan negatif yang lebih teruk kepada pembentukan
anak-anak.

4. Masa yang berkualiti

Aku yakin masa ialah antara aspek terpenting dalam
pembentukan anak-anak. Masa dan perhatian yang kita berikan kepada mereka ialah
sinonim dengan kasih sayang yang dicurahkan. Bahkan tidaklah keterlaluan jika
aku katakan, tanpa masa, maka makin kuranglah kasih sayang dan perhatian yang
boleh dicurahkan. Jika kedua-dua ibu bapa sibuk bekerja, keadaan pastinya makin
tidak baik, dan bayangkan jika anak pula ramai. Pasti tidak terkejar, dan anak
yang kehausan kasih sayang cenderung menagihnya dari tempat lain.

5. Isteri bukan kedai makan

Kalau dulu kita boleh suka-suka order anak sampai 11
orang untuk cukupkan satu team bola. Namun apabila memikirkan risiko yang
isteri hadapi seperti emboli udara, rahim pecah, pendarahan dan banyak lagi
perlu dirisaukan. Pasti membuatkan kita tidak sanggup untuk membebankan isteri
tersayang. Bahkan setiap kali mengandung, sebenarnya dua nyawa berhadapan
risiko, iaitu nyawa isteri dan juga anak yang dikandung. Belum lagi cerita
tentang depresi yang sering terjadi kepada ibu-ibu selepas bersalin.

6. Zaman sudah tidak sama

Kalau dulu, kita kerja mungkin dekat dengan rumah.
Saudara mara juga ramai yang tinggal berdekatan untuk membantu sekiranya diperlukan.
Zaman sekarang, ramai yang hidup berdikari dengan keluarga yang baru dibina
jauh dari ahli keluarga terdekat. Semuanya bergantung pada mereka, jika balik
kerja lambat, tiada yang boleh tolong ambilkan anak. Jika ada kecemasan, tiada
yang boleh tolong tengokkan anak. Bilangan anak yang ramai ditambah dengan
kekangan masa pasti akan memberi kesan negatif kepada pembentukan anak-anak.

7. Suami yang tak rajin bantu isteri

Masih ramai golongan ini (suami) yang masih mempunyai
tanggapan bahawa kerja-kerja rumah dan kerja-kerja menguruskan anak ialah kerja
isteri sepenuhnya. Membantu isteri jauh sekali, dan ini akan memberi bebanan
kepada mental dan fizikal isteri jika memiliki anak yang ramai. Anak ramai
bermaksud tanggungjawab yang makin besar dan perlu dipikul bersama suami dan
isteri. Jika sikap masih bermalasan dan suka untuk tengelam dalam dunia (game)
masih wujud, maka memiliki anak ramai bukanlah pilihan bijak.

Apa-apa pun ini hanya sudut pandang aku yang tinggal
di ibu kota dan mempunyai pasangan yang memilih untuk tutut bekerja. Konteksnya
mungkin berbeza mengikut keadaan yang berbeza. Apa-apa pun, kita tahu apa yang
terbaik untuk keluarga kita masing-masing.

Nota:

Biarlah anak tidak ramai yang penting kita mampu beri
yang terbaik kepada setiap dari mereka. Kita hidup di zaman orang
berlumba-lumba jadikan anak masing-masing terbaik. Sanggupkah kita biarkan anak
kita ketinggalan?

Apa pandangan anda dengan
artikel ini? Komen di bawah:

(Visited 7 times, 1 visits today)